Monday, November 26, 2012

Hujan


Aku sakit. Sakit yang bukan secara fizikal, tetapi sakit yang menyelaputi hati aku ini ialah sakit perasaan. Aku cuba berkali-kali untuk menafikan perasaan itu dan berulang kali menipu minda aku sendiri bahawa aku sudah ditakdirkan keseorangan dan sentiasa keseorangan. Namun, di dalam masih lagi degil dan meronta untuk sesuatu yang tidak wujud.

Untuk kesekian kalinya, secara terang-terangan dan nyata aku dan dia terhalang pelbagai halangan dan perbezaan yang realitinya tidak akan menemukan kami. Entah mengapa hati kecil aku masih tidak dapat menerima kenyataan muktamad itu. Masih terkial-kial mengharap seseorang yang secara mengejut telah membuka hati ini untuk terus menerima. Masih mengharap suatu hari, dia akan datang kepadaku dan memegang tangan yang sentiasa tercalar ini dan akan sentiasa setia di sisi sebagai penyokong pendirian dan hidup aku. Mengapa aku perlu memikirkan semua ini, sedangkan jawapan sudah ada di hadapan mata, terdengar di telinga, dan difahami secara kasar oleh akal logik aku.

Persoalan dan penyesalan mula terjadi dengan salah itu mula ditujukan kepada masa, tempat, keadaan, masa lalu, sekeliling malah kepada diri aku sendiri. Mengapa dulu aku tidak sedar langsung akan kehadiran dia, namun disangkal pula mimpi aku yang sentiasa dahulunya membayangkan ciri-ciri yang sudah ada padanya. Mengapa dia memilih yang lain dan bukannya aku, namun dijawab oleh hati kecil aku mengenai logiknya keadaan dan takdir yang telah ditulis jelas menunjukkan mengapa dan apa. Lagu-lagu pula menjadi ekspresi bagi aku melepaskan dan meleraikan persoalan ini dalam hati yang lusuh ini seperti  lagu Bring Me To Life, Lies, Fiction and Fact, dan Pujaan Hati.

Mungkin aku masih kurang matang dalam dunia berperasaan, dan aku masih mementingkan diri sendiri, cemburu melihat pasangan lain  bermesraan, berpegangan tangan, sentiasa berhubung antara sesama, saling melengkapi. Secara kasarnya, aku harap aku yang tidak sempurna ini akan terus secara paksanya melengkapi diri sendiri tanpa perlu lagi mengharap. Hal ini kerana, sampai bila aku terus mengharap bulan jatuh ke riba, sampai bila tangan ini terus menadah, sampai bila hati ini perlu sentiasa ditenangkan.

Suatu masa nanti, pada hari aku menyambut ulang tahun hidup aku, aku akan cuba meraikan dengan kelainan yang telah aku terfikirkan. Aku akan cuba menjauhkan diri dari semua. Menghilangkan diri pada hari diraikan, kerana aku tidak mahu merasakan penghargaan yang sentiasa mengingatkan aku bahawa aku disayangi, tetapi aku mahu meraikan dengan kekosongan yang menenangkan aku.

No comments:

Post a Comment