Tuesday, December 25, 2012

Penipuan


Penipuan yang aku rancang ini makin berhasil dan menjadi. Aku tidak pasti ianya akan bertahan untuk berapa lama dan impaknya bagaimana. Aku menipu dalam sakit, dan masih sakit. Penipuan ini lambat laun akan terbongkar juga.

Aku mungkin terpengaruh akan hati kecil aku yang sedih untuk menipu si Cicie. Dia seperti payah melupakan aku, tetapi berusaha. Aku sedih kerana dia memilih jalan itu, bercinta dengan seseorang yang agak mengabaikan dia. Tapi aku sedar, sedih dia, tumpahnya air mata dia, setia yang tidak goyahnya dia hanya untuk teman lelakinya itu. Aku berdoa suatu hari nanti, teman lelakinya itu berubah dan sedar akan kehadiran kasih yang terlalu kukuh untuknya dan lebih menghargainya. Aku mahu kau bahagia dengan dia, lupakan aku. Mungkin lambat laun akan hilang aku dalam memori dirimu.

Lyn, mungkin perbuatan aku ini seperti orang gila kerana mahu sakit dari perbuatan aku sendiri. Aku merancang menipu dengan menggunakan Lyn yang istemewa untuk hati aku. Zahirnya, orang yang tahu perbuatan aku ini akan mengumpamakan aku bercinta tahap gila dengan bayang. Mungkinkah hanya minat yang ada dalam hatinya itu untk aku, mungkinkah dia telah menjumpai cinta baru nun jauh di sana. Mungkin hati kecil aku sentiasa mengatakan, andainya suatu hari nanti, bila dia mengetahui penipuan ini, namun dia bersetuju dengan menukarkan penipuan ini dengan realiti, di mana dia juga inginkan aku menjadi miliknya, alangkah bahagianya aku. Tapi jika melihat dari sudut pandang keturunan, asal, dan jalan hidup yang sentiasa menjarakkan, mungkin ianya harapan angan. Mungkinkah suatu hari nanti, jika dia mengetahui penipuan ini, dan waktu itu dia benar-benar ada seseorang di hati, aku dengan relanya sanggup menghentikan penipuan ini. Kerana, aku perlu sedar akan kebenaran yang menyakitkan itu. Mimpi tetap mimpi, mengharap mimpi seumpama membunuh diri secara perlahan-lahan. Itulah yang aku lakukan, oleh itu aku bersedia untuk sakit lagi, kerana hati aku sudah tiada bentuk lagi.

Monday, December 24, 2012

Tahun 2012


Sekarang masa untuk aku rumuskan apa yang terbaik dan apa yang berlaku di tahun ini. Ianya membawa kenangan terindah dan terpedih pernah aku rasakan. Sebelum ucapan selamat tinggal 2012, aku ceritakan semuanya.

Antara yang berlaku membuatkan aku berubah ialah aku telah mengenali Cicie dan Lyn yang muncul dalam hidup aku secara mengejut dan semua berlaku pantas melibatkan perasaan. Bagi Cicie, aku mungkin terpukau sehingga sanggup sakit sendiri bercinta dengan kekasih orang. Dan yang paling mengejutkan, aku mengenali Lyn Lyana, peminat hardcore aku yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa aku dalam diam. Yang lebih mengejutkan, gadis Brunei yang terlalu cantik dan sweet sehingga aku menggelarnya  Angel. Aku hairan, aku yang sentiasa hidup dalam kacau bilau, susah dan jiwa kacau ini menjadi Pujaan Hati si dia. Apa lebihnya aku.? Mungkinkah sekadar minat atau itu benar rasa cinta.

Kesimpulan keluarga aku pula, akhirnya keluarga ayah telah bersatu kembali dan aku dapat mengenal sepupu-sepapat aku yang aku tidak kenali selama ini. Bagi ibu pula, aku mohon ibu sentiasa tabah dengan dugaan yang sentiasa mendatang. Bagi ayah, tolonglah ubah perangaimu, kata seperti boleh dikota, jangan berkata sebelum berfikir. Bagi adikku Yati, hope nanti kita akan jumpa juga sebab payah mahu cari adik terpisah ni yang berada nun di Brunei. Bagi si Anip pla, kau akan sentiasa di hadapan dan di bawah payung aku. So, teruskan hidup seperti yang kau pilih, dan jangan ikut jalan yang abang pilih ni.

Kisah cinta aku rasanya aku patut simpulkan begini, aku kecewa lagi kali ini. Mungkin lagi sakit dari sebelumnya. Aku tidak tahu mahu bersandar pada siapa lagi. Lyn pula masih persoalan, belum tentu ianya hanya minat taupun perasaan mendalam. Jadi, aku melakukan penipuan terancang. Agar si Cicie terus dengan hidup yang telah dia pilih. Bagi Lyn pula, sorry k sebab guna facebookmu n tukar2 sembarang status.  Nanti klu rasa rimas dengan status tu, just tukar jak. sebab rasanya penipuan ni mungkin menganggumu.

Monday, November 26, 2012

Pengakuan


Bukan lagi merasa tertekan dan tersungkur, tetapi bersyukur adalah sesuatu yang patut bagi aku buat masa ini. Kerana jalan hidup aku walaupun sentiasa malap, tetapi tetap ada coraknya dan warna-warna yang menghiasnya dan tertulis sejarah dalam riwayat hidup aku.

Aku perlu bersyukur, kerana aku sentiasa bertemu dengan pelbagai jenis manusia, diiringi pelbagai jenis perasaan, dan terjadinya pelbagai ikatan hubungan dan keadaan. Seandainya aku masih lagi dalam kepompong hidup yang tersekat dari dunia luar, aku masih lagi kesunyian dan kekosongan. Aku bersyukur bertemu dengan insan-insan yang seindah bidadari, secantik puteri, dan sehalus seri yang pernah menyinggah di lubuk perasaan aku, membuat aku merasa ditemani dan disayangi, membuat aku sentiasa berfikir mengenai keadaan dia, dan membuat aku seketika tersenyum tanpa aku mengetahui sebabnya.

Aku juga perlu bersyukur dengan setiap saat yang telah diberi padaku bermakna. Bermakna apabila seseorang itu pernah berjalan-jalan dengan aku, bermakna apabila seseorang itu ber’sms’ atau chat dengan aku, bermakna apabila seseorang itu memegang tanganku erat, bermakna apabila memeluk aku dengan penuh kasih sayang, bermakna apabila seseorang itu pernah mengucup mesra aku dengan ikhlasnya, dan apabila seseorang itu menyapa ataupun hanya mencuri pandang aku dari jauh. Ianya lebih bermakna daripada hanya menjadi salah satu watak dalam gambar pemandangan yang bertajuk kesesakan orang ramai. Ianya sangat bermakna kerana aku pernah merasainya, mengalaminya, dan pernah merindukan saat itu akan berulang walaupun mustahil.

Mungkin sebab aku manusia, aku pernah kecewa disakiti mahupun menyakiti, aku cuba melupakan kenangan indah dan berpegang dengan kenangan pahit untuk hidup. Aku ciptakan kegelapan sendiri iaitu cuba menjauhkan diri dari cinta, cuba untuk merasai kesakitan dan kesedihan secara berterusan agar sentiasa hidup. Aku sentiasa menafikan kehadiran orang sekeliling yang cuba mendekati dengan ayat negatif yang sentiasa tersemat dalam lubuk ini.

Mungkin,jika dijelaskan secara kebiasaan, aku hanya seorang budak yang terlalu jiwang karat, terlalu rendah keyakinan diri, terlalu terkongkong dengan diri sendiri sehingga dianggap tidak mampu memimpin ataupun merajai satu hati yang lain. Namun hidup aku sentiasa bermakna kerana aku bersyukur hanya aku yang tahu. Aku berpegang dengan ayat-ayat yang tersembunyi satu cerita, satu mesej dan satu gambaran menyeluruh tentang aku. Kebenaran itu menyakitkan, ayat ini aku anggap realiti kehidupan aku. Kebenaran selalunya penyataan mengenai kesedaran aku tentang hal sebenar yang berlaku, seperti dia tidak ditakdirkan untuk aku, aku dan dia jauh berbeza, dunia aku sentiasa hujan dan hanya mendung sekali sekala, kesakitan adalah salah satu unsur hidup aku dan kejayaan dan bahagia bukan untuk aku. Mesejnya ialah aku sentiasa bersedia menerima hakikat negatif aku dalam hidup yang sentiasa tidak adil kerana roda hidup aku sentiasa di bawah.

Ayat hidup aku ialah penipuan ialah ayat yang menjelaskan siapa aku. Menipu untuk hidup, menipu untuk bergaul dan menipu untuk menyembunyikan siapa aku agar kesakitan ini hanya aku tahu. Nyatanya, aku memperlihatkan perangai hidup yang gembira sentiasa, sentiasa mencari bahan untuk diketawa, sentiasa membuat orang sekeliling tersenyum mahupun ketawa kerana mereka berhak untuk gembira. Disebalik itu, mngalirnya air mata aku ialah rahsia terbesar aku untuk teruskan hidup kerana buat masa ini tiada sesiapa yang melihat aku menangis mahupun keluarga aku sendiri. Menipu aku untuk orang lain rasa selesa, penipuan aku jelasnya digunakan untuk tujuan yang aku mahu, menjauhkan dia dari aku kerana hubungan kami terlarang, menipu aku kerana mahu dia benci aku kerana aku dia menyayangi yang patut dan bukannya aku, menipu agar sekeliling tidak sakit atau susah hati kerana aku walaupun aku sedang sakit. Namun dari penipuan ini, aku telah menemui permainan psikologi iaitu aku mampu membaca isi hati seseorang melalui penipuan yang ingin dilakukan kerana aku dahulunya melakukan penipuan itu.

Mimpi ialah dunia aku, ayat yang tiada tersembunyi mesej, tetapi penyatan kehidupan aku. Dunia sebenar aku sentiasa hujan, tetapi dunia mimpi aku, dia milik aku, dia kekasih aku, hidup aku gembira dan tiada keraguan, juga mimpi ialah taman permainan aku. Di dalam mimpi, aku sentiasa berjumpa dengan dia, sentiasa bermesra dengan dia, sentiasa ada dia di sisi aku. Realiti, dia jauh dari aku, dia bukan milik aku, dia tidak kenal aku, dan dia tidak mungkin akan dekat dengan aku. Dunia mimpi aku membuat aku suka berada di dalamnya, dan tidak perlu menipu mahupun bersusah payah untuk tersenyum. Walau apapun, aku lebih sukakan keadaan ini kerana faham hakikat realiti dan fantasi sungguh berjauhan hukumnya. Aku terima hakikat dan takdir dunia kerana aku sudah memilikinya, dalam dunia mimpi aku.

Mungkin selepas post aku kali ini, aku tidak lagi dalam radar mereka yang tersedar atau mencari aku. Takdir hidup sukar diramal, mungkin aku masih di sini, mungkin aku jauh dari sini, mungkin juga aku dijemput pulang kembali ke tempat yang akan sentiasa berkekalan. Namun ingatan aku pada mereka yang mengajar aku rasa ingin membuat aku mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana member corak itu dalam hidup aku, walaupun hanya sekecil zarah, namun tetap aku ingati.

p/s: Thanks to my dream Angel, to my cutest adoreable Si Comel, to my first kiss Mieya, my first love and hurt Ira, to my biggest lie My, to my short-time love Cicie, to my lovely family and to all my kindest friends. Love you all.  From me who AS FATED ALONE UNTIL I BECOME UNDONE.

Hujan


Aku sakit. Sakit yang bukan secara fizikal, tetapi sakit yang menyelaputi hati aku ini ialah sakit perasaan. Aku cuba berkali-kali untuk menafikan perasaan itu dan berulang kali menipu minda aku sendiri bahawa aku sudah ditakdirkan keseorangan dan sentiasa keseorangan. Namun, di dalam masih lagi degil dan meronta untuk sesuatu yang tidak wujud.

Untuk kesekian kalinya, secara terang-terangan dan nyata aku dan dia terhalang pelbagai halangan dan perbezaan yang realitinya tidak akan menemukan kami. Entah mengapa hati kecil aku masih tidak dapat menerima kenyataan muktamad itu. Masih terkial-kial mengharap seseorang yang secara mengejut telah membuka hati ini untuk terus menerima. Masih mengharap suatu hari, dia akan datang kepadaku dan memegang tangan yang sentiasa tercalar ini dan akan sentiasa setia di sisi sebagai penyokong pendirian dan hidup aku. Mengapa aku perlu memikirkan semua ini, sedangkan jawapan sudah ada di hadapan mata, terdengar di telinga, dan difahami secara kasar oleh akal logik aku.

Persoalan dan penyesalan mula terjadi dengan salah itu mula ditujukan kepada masa, tempat, keadaan, masa lalu, sekeliling malah kepada diri aku sendiri. Mengapa dulu aku tidak sedar langsung akan kehadiran dia, namun disangkal pula mimpi aku yang sentiasa dahulunya membayangkan ciri-ciri yang sudah ada padanya. Mengapa dia memilih yang lain dan bukannya aku, namun dijawab oleh hati kecil aku mengenai logiknya keadaan dan takdir yang telah ditulis jelas menunjukkan mengapa dan apa. Lagu-lagu pula menjadi ekspresi bagi aku melepaskan dan meleraikan persoalan ini dalam hati yang lusuh ini seperti  lagu Bring Me To Life, Lies, Fiction and Fact, dan Pujaan Hati.

Mungkin aku masih kurang matang dalam dunia berperasaan, dan aku masih mementingkan diri sendiri, cemburu melihat pasangan lain  bermesraan, berpegangan tangan, sentiasa berhubung antara sesama, saling melengkapi. Secara kasarnya, aku harap aku yang tidak sempurna ini akan terus secara paksanya melengkapi diri sendiri tanpa perlu lagi mengharap. Hal ini kerana, sampai bila aku terus mengharap bulan jatuh ke riba, sampai bila tangan ini terus menadah, sampai bila hati ini perlu sentiasa ditenangkan.

Suatu masa nanti, pada hari aku menyambut ulang tahun hidup aku, aku akan cuba meraikan dengan kelainan yang telah aku terfikirkan. Aku akan cuba menjauhkan diri dari semua. Menghilangkan diri pada hari diraikan, kerana aku tidak mahu merasakan penghargaan yang sentiasa mengingatkan aku bahawa aku disayangi, tetapi aku mahu meraikan dengan kekosongan yang menenangkan aku.

Sunday, November 18, 2012

Sinar


Melihat dia gembira, kembali tertawa, mungkin kembali dengan kerenah si dia dengan facebooknya membuatkan aku tersenyum. Entah kenapa, tapi itu aku rasa dan seperti semua masalah aku terurai dengan sendiri membentuk jalan penyelesaian.

            Mungkin dia milik orang, mungkin juga bukan untuk selamanya kerana ada lagi yang lebih berhak, tapi keadaan ini membuat aku terasa, si dia gembira bila aku tiada. Kehadiran aku hanya kecelaruan yang terbentuk dari kekacauan yang berlaku dalam perhubungan yang diuji. Aku akui takdir tidak dapat dibaca mahupun diramal dengan senang. Aku konklusikan apa yang berlaku ialah aku hanya persinggahan sementara di mana aku dan dia diuji oleh Maha Kuasa. Dia diuji cintanya terhadap kekasihnya, dan aku diuji dengan kesakitan yang akan membuatkan aku lebih dewasa.

            Mulanya aku sentiasa mencari, apa ertinya dia ditakdirkan bertemu dengan aku, terpaut hati yang secara sementara dengan aku, dan kemudian dijauhkan dengan aku. Aku dengan jahilnya berpendapat bahawa dunia yang kejam ini sentiasa menghukum aku dengan tragisnya, membuat aku terjatuh dan terjatuh lagi. Tersungkur dan rebah bersemadi dalam kegelapan. Tapi logiknya, aku yang kini berfikir secara lebih terbuka dan warasnya, bukan aku sahaja yang hidup dalam dunia yang luas ini. Dia tercipta bukan semestinya untuk aku, pertemuan kami hanya satu pengalaman untuk aku lebih berfikiran tenang ketika menjalani hidup dengan si bidadari yang betul-betul milik aku, tercipta untuk aku, lahiriah rusuk kiri aku dan cinta akhir hayat aku.

            Aku harus berfikir dari sudut pandang berbeza kali ini, tidak perlu aku mengharap dan merampas hak orang lain. Berfikir untuk orang lain, biarkan mereka gembira seadanya dan bahagianya. Jika hati aku masih tidak dapat melupakan, cukuplah aku pernah rasa kasih sayang yang sedikit itu. Sekadar aku mengetahui senyuman terukir di wajah si dia, terdengar gelak tawanya, terbaca khabar keadaan stabilnya, atau gelagatnya yang diceritakan oleh rakan-rakanya membuatkan aku berpuas hati. Walau apapun yang telah menimpa aku, aku harus sedar bahawa itu adalah antara titik-titik waktu yang tertulis dalam hidup aku yang menyedarkan bahawa aku wujud di sini.

Monday, November 12, 2012

Perasaan & Keadaan


Perasaan aku berbeza buat masa ini. Seolah-ingin tapi tidak ingin, seperti aku menahan diriku daripada menggapai apa yang aku mahukan. Mungkin kerana logiknya aku memang perlu berbuat begitu atau aku memang ingin terasa kesakitan itu.

            Waktu si dia mahukan perhatian ataupun belaian dari aku, aku menahan hati aku sekuat mungkin. Dia cuba bermanja dengan aku, seperti di masa-masa lalu, tetapi bagi aku ianya tidak mungkin. Bergurau senda aku batasi kerana aku tidak mahu disakiti walaupun aku mahu disayangi dan disayangi. Waktu dan keadaan yang sesuai, aku lalukan dengan kesunyian dan sepi berlalu tanpa ada adegan menyentuh hati yang jawapannya sedih mahupan bahagia.

            Waktu si dia kesusahan, kerisauan menyelubungi aku. Ingin aku berada di sisi pada waktu itu, berenang dan menyelam jika perlu, terbakar dan terluka jika patut. Namun, bila waktu tiba dan semuanya terkawal, aku biarkan yang patut aku rasa berada dalam watak itu. Mungkin ada yang kasihan atau simpati dengan aku, tapi skrip telah ditulis di mana watak utama walau bagaimana menjengkelkan penonton,peranannya tetap peranannya. Aku sebagai watak pembantu mahupun watak sampingan hanya perlu mencorak suasana dan terlarang sama sekali oleh hatiku untuk merampas peranan itu.

            Tipu jika aku nyatakan aku tidak sesekali ingin bersama dia, tapi salah pula aku jika berperanan sebagai perampas. Cukup, bagi aku mengetahui dia tersenyum, sihat selamat, dan ada yang menemani dia kala kesunyian, aku sudah cukup bersyukur.

Friday, November 9, 2012

Persoalan


Persoalan yang sentiasa ada dan bermain dalam pemikiran aku. Persoalan-persoalan yang sentiasa mengucar-kacirkan hidup aku dan menjadikan aku sebagai satu misteri.

            Mengapa aku? Mengapa aku yang menjadi idaman atau salah satu yang tersangkut di hati si dia? Aku kenal diri aku. Hidup aku yang tidak teratur, cara komunikasi aku yang teruk, gaya aku yang serabut dan sudut pandang aku yang sentiasa negatif. Aku tiada kelebihan. Kalau ingin dikatakan aku ada rupa, lebih ramai lagi yang berwajah tampan, kacak, comel dan hensem di luar sana berbanding aku. Malahan, lebih bersifat yang diinginkan setiap perempuan. Jadi mengapa perlu pilih aku yang sentiasa bergelut dengan pemikiran sendiri, bukannya sentiasa berfikir untuk seseorang yang aku perlu hargai, sayangi, kagumi, cintai, hormati dan lindungi. Mungkinkah atas sebab simpati atau ianya takdir?

            Mengapa dengan sikap aku? Mengapa aku mengambil berat dan sentiasa mengutamakan mereka yang pernah aku sayangi. Sifat ambil berat aku bukanlah aku reka-reka. Tetapi ianya entah bagaimana ada di dalam hati aku. Risau di kala dia sakit atau cedera, gembira bila dia senyum,ketawa mahupun menyatakan rasa bahagia. Patutkah aku berasa dan bersikap begitu pada dia, sedangkan aku hanya watak sementara seperti pokok Melaka di dalam hikayat bagaimana Parameswara menemui Melaka, hanya secara kebetulan terkandung dalam cerita walaupun tidak melakukan apa-apa.

            Mengapa perlu sayang? Aku pernah disakiti, mahupun secara telus mahupun secara diam-diam. Aku disakiti bila mengetahui hakikat dan kebenaran yang menyakitkan, (dia bukan milik aku, dia dimiliki orang lain). Aku sayang? Mungkin sanggup berbuat sesuatu menggembirakan dia, membuat dia tersenyum semula dan membakar semangatnya untuk hidup gembira kerana orang lain, bukannya aku. Mungkin aku bodoh, mungkin aku tidak waras. Hakikatnya, itulah aku. My happiness is to see my loved ones happy, eventhough it is not me she with.

Sunday, November 4, 2012

Bidadari


Mungkin ada yang tertanya-tanya apa maksud aku perkataan bidadari. Mungkin juga ada yang mengertikannya dari sudut pandang sendiri, dan ianya berlainan dengan apa maksud aku. Kali ini aku mahu post maksud bidadari dari sudut pandang aku.

            Bidadari, ramai yang akan membayangkan seorang gadis cantik, berbaju putih dan bersayap seperti sayap merpati bila menyebut perkataan tersebut. Tapi bagi aku, bidadari membawa erti yang lebih besar dari itu. Bidadari ialah gadis yang memiliki kriteria-kriteria  impian aku. Tapi tidak lah sopan-santun, lemah-lembut dan hanya menurut kata. Bagi aku, ianya sempurna apabila memiliki sifat nakal, manja, senang merajuk dan berperangai inginkan perhatian. Walaupun agak biasa dari pemahaman orang lain, tapi bagi aku ianya sempurna apabila wujudnya seseorang seperti itu dalam hidup kerana dapat mewarnai hidup dengan sifat manjanya, kenakalannya akan membuat aku tersenyum, rajuknya akan membuat aku memujuknya (lumrah hubungan) dan sifat inginkan perhatian akan membuat aku sentiasa berfikir, aku wujud kerana ada yang mahu aku wujud.

            Bagi aku, wujudnya bidadari akan sentiasa membawa pengertian positif dan disusuli pengertian negatif aku. Pertama, kewujudan dia seumpama untuk aku kerana dia memiliki apa yang aku mahu. Tetapi, layakkah aku untuk memiliki yang sesempurna itu bila aku sendiri dalam kesesatan. Kedua, Aku merasa gembira kerana dia mungkin rusuk kiri aku. Tetapi, jodoh seseorang tidak akan diketahui kerana Tuhan yang telah menentukan siapa jodoh kita, mungkin itu bukan bidadari aku. Dan banyak lagi persoalan yang akan merumitkan akal sesiapa sahaja yang berfikir. Oleh itu, berharap tidak seharusnya, gembira tidak sepatutnya dan teruskan hidup menghadapinya, sepatutnya.

Semalam


Menyedari aku terlalu pasif bila menghadapai sesuatu, mungkin aku perlu ubah hala tuju hidup aku.  Mungkinkah aku perlu lebih kejam dalam menerima sesuatu keadaan dan kenyataan? Mungkinkah juga aku harus menghadapi tanpa perasaan. Aku tertanya-tanya, apa patut aku buat dan apa aku patut rasa sekarang?

            Semalam, seseorang yang pernah aku sayang melakukan sesuatu yang mengejutkan aku. Cuba duduk di tingkap hostel seperti ingin membunuh diri, kemudian pengsan dan cuba menjauhkan diri dari aku. Kemudian, datang pertanyaan yang sukar untuk aku ungkap jawapan. Dan datang juga pada waktu yang sama keadaan yang membingungkan aku. Mengapa semua berlaku serentak? Mengapa aku harus menghadapi dengan bertindak dan berlakon seperti tiada apa-apa berlaku sedangkan di dalam aku berkecamuk?

            Mungkin aku gila, mungkin aku bodoh. Semalam aku termakan lagu hasutan hati gelap aku. Dan hari aku hari ini dimulakan dengan kesakitan kepala yang agak teruk. Nasib baiklah aku tidak meratah satu karton, kalau ya aku tidak tahu mungkin aku sendiri tidak sedar aku melukakan kembali parut di tangan kiri, atau mungkin juga aku cuba membunuh diri. Tapi aku Berjaya mengawal diri dan bangun bernafas hari ini. Hidup aku bertambah kusut kerana semalam.

            Hari ini, aku mahu memulakan segalanya dengan penyelesaian. Seperti yang aku telah beralah dengan pemikiran aku sendiri, aku mahu mulakan langkah baru. Tidak lagi sekusut semalam. Lupakan apa yang patut, merasa apa yang patut aku rasa, melaku apa yang patut aku laku. Aku mahu focus mencari penyelesaian bagi masalah tak sudah. 

Saturday, November 3, 2012

Kata Hati Kecil


Memikirkan benda yang membingungkan, aku mula beralah pada pemikiran aku sendiri. Membuat aku tertanya-tanya, sempurnakah aku untuk menjadi rebutan?

            Fikir semula, aku hanya manusia biasa, yang hanya ada satu jiwa, yang masih hidup terhuyung-hayang, sesat dalam kegelapan hidup dan sentiasa mengharap cahaya mengubah cara hidup aku. Mungkin tempat aku di sini, di dalam kegelapan yang aku cipta, yang aku sendiri rasai dan tidak dirasai oleh sesiapa. Masih mencari konklusi dan destinasi hidup yang bukan sahaja samar, malah sukar untuk diramal. Oleh itu, perasaan yang aku perlu dan wajib untuk aku ialah rendah diri dan rasa sunyi, dan bukannya menagih simpati mencari seseorang untuk memimpin tangan aku lari dari lubuk kegelapan ini.

            Kelemahan aku, yang paling ketara, dan kelemahan yang mampu membunuh aku. Aku sentiasa mengharap, berharap sesuatu yang terindah itu milik aku. Seperti terlalu ingin disayangi dan menyayangi sesuatu yang hidup. Memerlukan sesuatu untuk disentuh apabila aku keseorangan semata-mata membuktikan pada hatiku yang aku masih wujud di dunia ini. Sememangnya agak menyedihkan dan kehidupan aku terlalu pelik dan sukar diramal.

            Kesimpulan pemikiran, biarlah dewi yang aku cuba miliki bahagia. Bukan di tangan aku, tapi dengan orang yang lebih layak memiliki anugerah tuhan yang terindah. Sebab rusuk kiri aku sentiasa ada, wujud seperti ditakdirkan oleh tuhan. Mungkin, masih perlu masa untuk aku menemuinya. Mungkin juga perlu beberapa ketika kesunyian untuk menemuinya.

Wednesday, October 31, 2012

Jiwa Kacau


Hari ini aku makin bingung . Aku terpengaruh dengan kata-kata semalam, mimpi semalam, perbualan tadi dan apa-apa sahaja yang mempengaruhi otak aku untuk berfikir berpandukan hati. Beberapa orang telah membuat aku jiwa kacau, dan aku masih lagi memikirkan mengenai mereka.

            Pertama sekali, seorang bidadari yang entah bagaimana mengenali aku. Pada mulanya memang agak pelik bagaimana dia boleh mengenali aku terlebih duhulu dari aku mengenali dia. Sememangnya, dia memiliki ciri-ciri dream girl aku, tetapi dia sudahpun dimiliki. Apa yang betul-betul membingungkan, walaupun dia sudah ada teman lelaki, tetapi dia seperti mahukan aku menjadi seseorang yang paling rapat dan selalu untuknya. Mungkin aku perasan, tetapi itu lah maksud yang aku fahami bila dia pernah menggelar aku pujaan hati. Aku cuba menjarakkan atau menjauhi dirinya untuk mengurangkan salah faham teman lelakinya, namun dia mahu aku tetap di kedudukan itu, kedudukan yang aku sering keliru, sama ada kawan, teman tapi mesra atau sesuatu yang lebih dari bayangan aku, tapi mungkin sekadar pemikiran dari mimpi.

            Kedua, seorang yang telah meninggalkan aku, namun masih cuba hidup dalam kekeliruan yang aku terlibat. Dia pernah berkata untuk meninggalkan aku kerana dia lebih mencintai temkan lelakinya, dan hanya meminati aku. Aku masih teringat, kenapa dia cuba mendekati aku sedangkan dia tahu dia hanya meminati dan tiada rasa cinta. Sekarang, khabar angin mengatakan dia telah bergaduh dan berpisah dengan teman lelakinya. Aku agak terkejut, namun lega kerana ianya bukan kerana aku. Apa yang pelik ialah, baru-baru ini dia mengirim salam padaku dengan ayat pelik iaitu I Love You . Aku jadi serba salah kerana moodnya juga menjadi murung apabila salah faham apabila aku keluar  jalan-jalan  dengan makcik aku. Aku takut dia berpisah dengan teman lelakinya dan berharap untuk bersama aku.

            Ketiga, seorang yang pernah mencuri hati aku. Kawan baik aku semasa di sekolah dan pernah menolak aku kerana teman lelakinya. Aku sentiasa ada bersamanya jika dia bergaduh dengan teman lelakinya. Tetapi, sekian lama aku hilang jejak dirinya kerana aku dengar dia bekerja di kawasan bandar. Baru-baru ini, aku cuba menghubungi dirinya, hanya untuk bertanya khabar. Tanpa aku sangka, dia mahukan aku dating ke sana untk menemaninya, malahan dia menunggu kedatangan aku. Aku cuba bergurau dengan bertanya adakah dia merindui aku. Tidak aku duga, dia benar-benar rindukan aku. Mungkinkah dia baru menyedari kehadiran aku dalam hatinya setelah dia bergaduh dengan teman lelakinya?

            Terakhir, mungkin ramai lagi dan banyak lagi yang aku ceritakan. Tetapi sekarang aku dalam keadaan bingung dan jiwa kacau. Siapa yang perlu aku jadikan permaisuri hati aku? Aku perlukan tangan untuk digenggam. Aku perlukan seseorang untuk selalu dihubungi, diminati, disayangi, dan yang paling penting, seorang yang setia di dalam hati aku menemani aku di saat aku memerlukan. Namun hidup tidak seperti yang kita duga, dan aku juga harus sentiasa mengambil kira bahawa aku bukan siapa-siapa untuk disayangi dan hidup aku ditakdirkan kesunyian.

Monday, October 29, 2012

Putaran Hidup

Kali ini aku mahu ceritakan mengenai putaran hidup aku. Ya, sememangnya hidup aku agak huru-hara, kucar-kacir dan yang sama waktu dengannya. Setiap kali aku ingin keluar dari kepompong kesunyian, aku akan menemui onak duri yang begitu menyakitkan. Seperti pepatah yang aku berpegang, “kebenaran menyakitkan”.

            Mengapa takdir hidup aku begini? Persoalan ini selalu bermain di mindaku dan kadang kala membuatkan aku bosan kerana merasai perasaan yang sama di kesudahan cerita yang hampir sama walaupun skripnya berbeza. Mula terpaut dengan seseorang yang sama dengan ingin hatiku, tapi akhirnya milik orang dan tidak mampu untuk aku capai. Kesakitannya ialah aku telah menaruh hati padanya dan yang lebih memedihkan, si dia masih ingin bersama aku.

            Aku sering keliru, suka dan minat, cinta dan sayang, bahagia dan gembira, ianya terlalu berbeza walaupun zahirnya agak sama dalam sebutan dan makna. Dia gembira dengan aku, tapi aku keliru dengan mengertikannya sebagai bahagia. Dia sayang dengan aku, aku pula bodohnya menyatakan pada hati aku dia menyintai aku. Sememangnya dunia ini tidak akan pernah adil dan sentiasa kejam. Aku hanya perlu tabah untuk hidup dan sentiasa menahan cubaan hidup untuk terus bernafas, tidak seperti pencinta-pencinta lain yang seawalnya mengangkat bendera putih membunuh diri.

            Mungkin memiliki ialah satu perkataan yang aku harus padam dalam kamus hidum aku. Kehidupan aku dan kerosakan akhlak aku yang seumpama firaun tidak mungkin akan setaraf mahupun sepadan dengan bidadari kayangan seperti dirinya. Keturunannya yang datang dari darah emas tidak mungkin akan sebati dengan darah gangsa bersalut debu aku. Bagi aku dan pendapat hati kecil aku, kegembiraan aku ialah melihat orang yang aku sayang gembira, seperti melihat dia bahagia dengan orang yang mampu memberinya apa yang dia inginkan.

            Aku percaya, hidup umpama roda. Ada kalanya kegembiraan itu akan aku rasai pada satu ketika nanti, walaupun hanya sekelumit bahagia terasa. Bukan sebab aku tidak menginginkannya, tetapi aku sentiasa bersyukur dengan apa yang aku ada. Cukup untuk aku teruskan hidup.

Cerita Aku



Lepas padam blog-blog aku yang dulu, sekarang aku kembali menulis blog. Mungkin tujuan aku tidak pasti, tetapi terbuka hati untuk menulis sebagai tempat aku meluah perasaan. Kerana aku merasakan facebook kurang sesuai untuk aku luahkan perasaan aku. Luahan aku hanya untuk menghela nafas yang panjang, tanpa terusik sesiapa dan menimbulkan konflik yang berserabut. Mungkin akan dibaca sebagai satu cerita yang tidak akan terasa oleh pembaca. Tapi ini luahan sebenar dan cerita yang benar-benar berlaku.

          Pembuka kata bagi blog baru ini malas untuk aku luahkan panjang-panjang. Kerana cerita seterusnya yang bakal aku ceritakan mungkin tidak menentu panjang entrinya, tetapi cubalah fahami erti, hati, dan rasa yang ada di dalam.