Sunday, November 18, 2012

Sinar


Melihat dia gembira, kembali tertawa, mungkin kembali dengan kerenah si dia dengan facebooknya membuatkan aku tersenyum. Entah kenapa, tapi itu aku rasa dan seperti semua masalah aku terurai dengan sendiri membentuk jalan penyelesaian.

            Mungkin dia milik orang, mungkin juga bukan untuk selamanya kerana ada lagi yang lebih berhak, tapi keadaan ini membuat aku terasa, si dia gembira bila aku tiada. Kehadiran aku hanya kecelaruan yang terbentuk dari kekacauan yang berlaku dalam perhubungan yang diuji. Aku akui takdir tidak dapat dibaca mahupun diramal dengan senang. Aku konklusikan apa yang berlaku ialah aku hanya persinggahan sementara di mana aku dan dia diuji oleh Maha Kuasa. Dia diuji cintanya terhadap kekasihnya, dan aku diuji dengan kesakitan yang akan membuatkan aku lebih dewasa.

            Mulanya aku sentiasa mencari, apa ertinya dia ditakdirkan bertemu dengan aku, terpaut hati yang secara sementara dengan aku, dan kemudian dijauhkan dengan aku. Aku dengan jahilnya berpendapat bahawa dunia yang kejam ini sentiasa menghukum aku dengan tragisnya, membuat aku terjatuh dan terjatuh lagi. Tersungkur dan rebah bersemadi dalam kegelapan. Tapi logiknya, aku yang kini berfikir secara lebih terbuka dan warasnya, bukan aku sahaja yang hidup dalam dunia yang luas ini. Dia tercipta bukan semestinya untuk aku, pertemuan kami hanya satu pengalaman untuk aku lebih berfikiran tenang ketika menjalani hidup dengan si bidadari yang betul-betul milik aku, tercipta untuk aku, lahiriah rusuk kiri aku dan cinta akhir hayat aku.

            Aku harus berfikir dari sudut pandang berbeza kali ini, tidak perlu aku mengharap dan merampas hak orang lain. Berfikir untuk orang lain, biarkan mereka gembira seadanya dan bahagianya. Jika hati aku masih tidak dapat melupakan, cukuplah aku pernah rasa kasih sayang yang sedikit itu. Sekadar aku mengetahui senyuman terukir di wajah si dia, terdengar gelak tawanya, terbaca khabar keadaan stabilnya, atau gelagatnya yang diceritakan oleh rakan-rakanya membuatkan aku berpuas hati. Walau apapun yang telah menimpa aku, aku harus sedar bahawa itu adalah antara titik-titik waktu yang tertulis dalam hidup aku yang menyedarkan bahawa aku wujud di sini.

No comments:

Post a Comment